Friday, November 20, 2015

Apa makna rezeki di awal pagi buat seorang ibu


waktu di awal pagi memang dijanjikan keberkatan di atas kerja yang dilakukan hambaNya. tak sama macam waktu yang lainnya.
mana taknya...untuk seorang ibu seperti saya, boleh ada masa untuk diri sendiri.  inilah waktu yang paling aman. tiada kacau dari anak-anak dan keluarga.  boleh buat 'self assessment', dengan kata lain, muhasabah diri.  peluang saya untuk bina kekuatan ruhani.  perlu kuat dalamannya sebelum mau keluar berkhidmat, tak kira untuk keluarga atau masyarakat di luar. 
rezeki dapat hirupan udara yang paling segar.  tak dicemari lagi dek asap-asap kereta.  kandungan oksigennya masih tinggi dihasilkan pokok-pokok semalaman. 
di awal waktu ini jugalah boleh dengar kicipan burung-burung, kokokan ayam.  terasa kebersamaan kita dengan alam dan makhluk lain yang Allah ciptakan.  

perasaan aman dan tenang itu rezeki terbaik buat ku...rasa lebih kuat sikit deh...untuk menghadapi hari yang selebihnya dengan izinNya jua.  InsyaAllah.  ku pohon kekuatan dari Mu jua ya Allah.

Wednesday, October 14, 2015

Tulis.
Lamanya tak menulis.
Nak tunggu masa yang sesuai untuk menulis memang pasti ianya tak mau kunjung tiba.
Nak mula bertatih-tatih menulis kembali.
Sejak tahun 2013 tulisan akhir ku di blog ini.
Lama tu.
Masih tak pasti apa yang mahu ditulis.
Pasti banyak yang berlaku sejak 2013. 
Aku sendiri yang menjauhkan diri ku dari blog ini.
Maaf.  Tiada kepastian lagi tajuk apa yang mahu ditulis.
Aduhh.
Tepu.  Tepu dengan tugas harian.
Tak nampak apa hasilnya.
Nak kemana aku ni.
Persoalan yang menghantui diri ini.
Kerja-kerja duniawi memang menyesakkan jiwa.
Bekal ruhiyah juga yang pasti menyelamatkan kegersangan ini.
Tapi minda yang sarat dengan ketidakpastian ini  menjunamkan diri jauh ke dalam jurang kebuntuan ini.
Hah!  Baru ku sedar.
Inilah yang patut ku lakukan dari dulu lagi.
Tulis saja yuk!
Apa lagi.
Muntahkan apa yang ada dalam benak pemikiran mu.
Sedikit-sedikit.  
Rasa sedikit diri terbantu. 
Ringan sedikit rasanya.  Lega.
Pikir-pikir.
Zikir-zikir.
Piker-pikir yang membawa kepada zikir-zikir.  Atau sebaliknya.  Pun betul juga.

Lega sedikit.  Besuk akan ku sambung menulis.  Dengan izinNya.

Tuesday, October 8, 2013

Satu Pagi di Putatan

Berjaya juga aku bersiar-siar di kawasan perumahan kami di Putatan.  Iman anak ku yang kecil sedang tidur nyenyak, cepat-cepat aku buat keputusan untuk keluar berjalan mengambil udara segar di pagi Ahad. 

Dah lebih 10 bulan sejak aku pindah dari Semenanjung dan tinggal di Putatan, Sabah ini.  Baru pertama kali aku dapat meninjau-ninjau aktiviti penduduk di sini di waktu pagi Ahad yang aman dan damai.  Memang jauh beza suasanannya dengan rumah lama ku di Ampang. 

Suasana di sini, kurang sibuknya, di kawasan tempat kami duduk ini sedikit kekampungan.  Bersebelahan pula dengan jeti dan Pasar Nelayan, menjadi pusat aktiviti penduduk di sini.  Seawal pagi jam 6 mereka sudah menunggu ikan-ikan segar yang dibawa turun nelayan.  

Pasar Nelayan inilah penduduk sekitar membeli ikan-ikan segar!
Nelayan balik ke jeti setelah selesai penangkapan.

Hampir ke jeti yang hanya terletak berhampiran dengan taman perumahan yang kami duduk.

Jeti nelayan

Pembeli-pembeli berebut ikan-ikan  yang baru turun dibawa nelayan

Kakak ini baru saja beli ikan jenak yang beratnya hampir 2kg.
Pemandangan-pemandangan sepanjang aku berjalan-jalan di pagi Ahad.

Aktiviti memancing menjadi aktiviti hujung minggu penduduk di sekitar.





Tuan rumah corner lot ini siap bina replika kincir air di belakang rumahnya yang mengadap laut luas terbentang.
Pemandangan di bahagian belakang di sebahagian rumah di sini.
Taman permainan di kawasan perumahan ini.
Rumah kami berhampiran dengan KKIA, menjadi tempat laluan kapal terbang agak hampir dengan atap rumah kami .
Balik buat masak lemak ketam. Tapi ketam ini dibeli di pasar besar Putatan.

Memang suasana damai ini tak dapat dinafikan.

Suasana kekampungan di kawan Pasir Putih, Putatan ini amat menyenangkan.  Suasananya damai dan santai.  Orang-orangnya peramah, mudah senyum mungkin kerana dek suasana 'comfort zone' ini.  
Rasa kecukupan itu memang sudah serba serbinya ada.  Alhamdulillah.  Tapi bagi kami yang biasa dengan aktiviti kemasyarakatan yang berunsur ilmiyah, di masjid-masjid pada waktu hujung minggu terutamanya bersama keluarga, hati ini terasa gersang. Rindu dengan suasana mencari ilmu, juga program-program yang islamik untuk anak-anak.  Kami rasa kurang dari sudut tarbiyah untuk seisi keluarga.  Masjid menjadi tempat yang bersifat formal terhad untuk aktiviti ibadah khusus sahaja. 

Semasa kami di Bukit Indah, Ampang, masjidnya amat meriah sekali.  Kapan hujung minggu pasti ada aktiviti untuk semua peringkat umur. Hatta aktiviti untuk remaja juga ada.  Pernah anakku Haziq menyertai kelas menghasilkan komik di situ.  Anak-anak kecil diadakan aktitiviti melukis, mewarna, bahkan demo memasak oleh chef Hanieliza untuk ibu-ibu pun ada.  Rata-rata masjid di Selangor dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.  Pengisian-pengisian kelas ilmiah amat ku damba bila sudah bermukim di sini hampir 10 bulan lebih sudah.  Hambar rasa perasaan ini. Pernah ku jumpa seorang remaja perempuan berkongsi perasaan gembiranya dengan kuliah agama yang pesat di salah sebuah masjid negeri di Shah Alam. Kalau dulu dia selalu balik kampung sebab kebosanan tiada aktiviti manfaaat nak dibuat, tapi kini rasa rugi pula kalau balik kampung dek keran takut terlepas kuliyah di hujung minggu.  

Pengisian aktivi yang menarik di masjid-masjid boleh menarik anak-anak kita untuk suka ke masjid.  Biarpun kita boleh mengisi masa mereka di rumah dengan aktiviti usrah atau tadarus di rumah, tapi pastinya hidup bermasyarakat yang sepatutnya bermula dari rumah Allah itu sebagai pusat sosial yang berteraskan islami amat membantu mempengaruhi tumbesaran positif anak-anak.  Tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam perkara ini tetapi jika diberi peluang diberikan tugas jawatan kuasa masjid ini kepada yang berhak dan layak, inshaAllah akan kita dapat lihat perkembangan yang positif untuk institusi masjid di sini. Itu yang berlaku di masjid-masjid negeri Selangor.  Contohilah aktiviti-aktiviti yang dianjurkan masjid-masjid di Selangor. Dengar cerita, masjid-masjid di Singapura pun tidak kurang hebat aktivitinya.  

Perkataan 'UBAH' ini memang amat diutuhkan untuk masyarakat di sini.  Selagi mana pemikiran yang tidak jelas dan kabur dek maklumat-maklumat yang bermotifkan kepentingan golongan tertentu, rakyat Sabah akan makin ketinggalan.  Mereka perlu bangun dan ubah nasib mereka sendiri.  Budaya "spoon fed" ini perlu diubah, jangan terlalu bergantung harap dengan bantuan kerajaan.  Jika tidak, sampai bila nasib kebanyakan masyarakat di sini khususnya dan Malaysia amnya tak kan berubah.  Jika tidak "ini kalilah", maka "lain kalila" inshaAllah. Takbirr!!!

Wednesday, September 25, 2013

Pemutus Hukum


“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia- sia maka ianya bukan syariah”

Saya jumpa di Face book kawan saya, petikan dari column Dr. Asri, buat renungan semua.
Tambahan dari saya dari pengajaran Kuliyah Ustazah Faridahanum:
Akidah kita sebagai orang Islam adalah Tauhid. Kita kena jelas tauhid kita yang merangkumi ke tiga-tiga peringkat: Rububiyah, Uluhiyah dan Asma ulHusna (Nama-nama Allah bukan setakat hafal tetapi berakhlak dengan sifat2 Allah contoh Al-Rahman, Al-Rahim, bukan setakat hafal, tapi praktikkan).
Tahap Rububiyah sama mengimani Allah sebagai Rabb, tuhan pencipta Allah, hatta non-Muslim pun mengakuiNya. Contoh orang Cina juga mengaku Allah sebagai Tuhan.
Maka tahap Uluhiyah ini yang menjadi kaki ukur kita sebagai mukmin sejati. Allah sebagai pemutus hukum (al-Hakim), mengesakan Allah bermakna kita mengambil segala hukum yang telah ditetapkan Allah tanpa soal.
Bila manusia tidak mentaati perintah Allah, dan tidak mematuhi hukum- hukum Allah, maka al-Hakim dengan kuasaNya menciptakan masalah- masalah dan musibah kepada manusia (contoh, gejala sosial yang berlaku di negara ini). Puncanya adalah ketidak patuhan manusia itu sendiri pada perintah2 Penciptanya (segala perintah yang ada di dalam al-Quran wajib kita patuhi, bukan ambil mengikut kepentingan sendiri).
Contoh paling jelas ialah perintah membaca & menuntut ilmu, ayat pertama diturunkan di dalam al-Quran, Iqra’, bacalah. Ini merupakan perintah Allah kepada manusia dan merupakan fardhu kepada semua kita umat Islam untuk mematuhinya.  Bila kita tidak mengambil serius perintah membaca & menuntut ilmu (cukup jelas asas kepada ajaran Islam), maka lahirlah kita umat Islam akhir zaman ini amat mundur pencapaiannya tak kira dari segi ilmu, sains & teknologi, ekonomi etc. Sunnatullah ini adalah hatta orang kafir sekali pun yang mengambil peraturan ini dengan serius, contoh dari segi menuntut ilmu itu, maka dengan sifat al-Rahman (pemberian tanpa limit), Allah mengurniakan kelebihan kepada orang2 kafir dari segi kemajuan teknologi dan kekuatan ekonomi. Dan oleh kerana kita tidak mengikut sunnatullah ini, kerugian dan kehinaan bagi kita dan ini adalah hakikat ummat Islam akhir zaman ini.  Wallahua’lam.

Tuesday, September 17, 2013

Isteri membutuhkan perhatian suami

Apa yang buat saya sebagai seorang isteri berasa gembira dan bahagia?  Seorang suami yang rajin mendengar cerita-ceriti saya.  Mesti suami-suami kat luar sana menyampah nak baca entri ni.  Bacalah...moga bermanfaat, inshaAllah.


Semua wanita dikurniakan Allah dengan kelebihan bercerita.  Bercerita boleh jadi dalam bentuk mengadu, membebel, meluahkan perasaan, berkongsi pendapat, apa pun memang kami suka berkongsi maklumat (term positifnya).  Cerita itu boleh jadi kisah sehariannya di ofis bagi ibu yang bekerja, dan ia boleh jadi juga aduan kerja-kerja rumah yang banyak bagi ibu di rumah.

Kami tidak minta banyak.  Sedang Ummul Mukminin kita Aisha juga bercerita panjang dengan suaminya Nabi Muhammad yang pastinya teramatlah sibuk berbanding suami kita.  Kisahnya memang teramatlah panjang pabila beliau menceritakan satu-satu kisah sebelas wanita yang menceritakan kisah suami masing-masing dan kisah-kisah itulah yang diceritakannya kepada nabi tidak lepas seorang pun.  Akhlak Nabi seperti yang kita jangka, mendengar sepenuhnya dengan penuh minat dan menjawab dengan baik sekali.

Tak rugi pun.  Dengarkanlah sahaja bebelan si isteri, kerana sesi mendengar itu pasti membuahkan hasil yang amat baik untuk si isteri.  Jadilah kaunselor terbaik dengan mendengar luahan itu dengan sebaiknya.  Kerana ia merupakan terapi melepaskan segala jenis emosi negatif dalam diri isteri.  Dan jangan risau sang suami karena  isteri yang bahagia, pasti akan membuatkan seisi rumah itu ceria. 

Kisah pemimpin sehebat Umar yang amat bersabar dengan leteran isterinya yang dapat memberikan kesedaran kepada seorang sahabat yang ingin mengadu kisah isterinya kepada Umar.  Apa yang membuat si suami terasa sangat hebat sehingga tidak sedikit pun mahu meluangkan sedikit masa untuk  keluhan si isteri.  Ambilah pengajaran dari akhlak Rasulullah SAW dan para sahabat.  Sebagai seorang Muslim, kita tidak kekeringan ibrah atau pengajaran dari Sirah Rasulullah dan para Sahabat.  Belajarlah kita dari kisah agung manusia-manusia hebat ini untuk kita jadi panduan dalam kehidupan kita.  

Thursday, August 15, 2013

Rintihan kemenangan di Eidul Fitri.

Anak-anak kecil gembira beraya di kampung.
Sambutan Eidul Fitri di Negara tercinta ini disambut dengan suasana gembira.  Alhamdulillah, suasananya memang aman, tetapi cabaran nak menghayati hari kemenangan untuk seluruh umat Islam ini dengan sebaik-baiknya memang hebat.  Tiap-tiap tahun kita disajikan dengan rancangan-rancangan hiburan yang amat mengasyikkan.  Setiap tahun juga hantu-hantu raya memenuhi cerita-cerita di kaca TV.  Apa kena mengena dengan cerita-cerita hantu dengan eidul fitri?  Bila difikirkan, betul lah agaknya, syaitan-syaitan dah dilepaskan, maka beraya sakanlah mereka setelah sebulan di ikat dalam bulan Ramadhan.

Sambutan hari raya tahun ini juga terasa sedih dan sayu dengan berita-berita pembunuhan rakyat Mesir di Facebook oleh tentera-tentera Mesir.  Rasa cukup-cukup sudah nak beraya, tak da hati nak sambung raya untuk sebulan syawal ini. 

Sebulan rakyat Mesir berpuasa di bulan Ramadhan amat memberi kekuatan kepada mereka untuk keluar beramai-ramai mempertahankan kerajaan Mesir yang diketuai Dr. Mursi yang sah dari dirampas oleh tentera-tentera Mesir.  Jelas mabrur puasa mereka.  Sedang aku berkira-kira, mabrur kah amalan puasa ku di bulan Ramadhan tahun ini?  Bertambah sedih rasanya.  Tak tentu lagi rezeki ku di Ramadhan akan datang.  Sedih lagi bila melihat sambutan eidul fitri yang berlebih-lebihan dengan hiburan yang melampau-lampau.  Cukup-cukup sudah…

Sedih dengan pencapaian diri yang amat lemah…hafazan alQuran yang amat lemah, pemahaman AlQuran juga lemah, pembacaan buku-buku islam/ilmiah yang sedikit sekali…and the list goes on.  Memang wajar sekali kita umat Islam kini berada di tahap paling bawah sekali.  Renungan buat diri sendiri terasa insaf.  Amat kerdil sekali usaha hambaMu ini ya Allah.  Mana nak diharap kemenangan Islam jika diri ini masih alpa dan lalai dengan kesibukan dunia. 

Jika saudara-saudara Islam ku di Mesir bangkit melawan taghut dan beribu yang syahid.  Yang pasti, jiwa mereka sudah bangkit.  Sedangkan aku di sini, sedang lena tidur dibuai mimpi indah dengan kesenangan dunia yang tak habis-habis menipu. 

Tahun ini aku masuk ofis awal sedikit.  Berita Mesir pagi tadi amat memberikan kesan.  Jika nak diubah dunia ini dalam masa yang singkat memang tidak ada daya.  Tapi apa sumbangan ku untuk ummat ini.  Banyak yang perlu dibuat untuk hidup yang amat singkat ini.  Umur pun tak muda lagi.  Tinggal sisa-sisa baki yang ada ini, terasa sedikit sangat usaha untuk diri sendiri apa lagi keluarga dan masyarakat.  Apa nak dijawab di hadapan Allah nanti. 

Awal Syawal ini, hasil dari penilaian diri yang dhaif ini dari sepanjang Ramadhan terutamanya 10 hari terakhir, aku kenal pasti kelemahan-kelemahan diri.  Antaranya:

1.    Pembacaan solat ku, amat kurang surah-surah atau ayat-ayat baru yang dihafal.  Aku hanya ulang-ulang surah-surah biasa yang dibaca dari hafalan zaman sekolah dulu.  Jika ada surah baru pun, sering ditangguh pembacaan dek kerana nak cepat sambung balik dengan kerja, dan hal anak-anak dan keluarga.

Resolusi: Memperkemaskan lagi jadual dan program hafazan.  Berpakat dengan anak perempuan ku Farhana menyambung hafazan surah-surah dari sekolah Al-Amin dahulu.  (Anak-anak sebelum ini di sekolah Al-Amin, ada program hafazan, tapi sejak berpindah ke KK, kini hanya bersekolah di Sekolah kebangsaan.  Banyak ketinggalan dari segi tarbiah agamanya)

2.    Pemahaman ayat-ayat al-Quran ku amat lemah.  Jika imam yang tahfiz membacakan surah-surah panjang semasa solat terawikh, aku tak dapat nak mengenal pasti perkataan yang disebut menyebabkan susah untuk khusyu’ dalam solat.  Astaghfirullahal Azim.  Ayat-ayat Mu itu yang sebagai Mukjizat, berlalu begitu sahaja, tiada pemahaman.  Ampuni hambaMu ini Ya Allah. 

Resolusi: 1. Gunakan al-Quran Syamil untuk hafazan dengan mengenal pasti makna ayat-ayat yang hendak dihafal.  Tetapkan 4-5 ayat yang hendak dihafal untuk hari itu, dan pastikan tahu makna-maknanya dahulu bagi memudahkan hafazan untuk diulang-ulang sepanjang hari.  Ayat-ayat yang dihafaz boleh dibacakan dalam solat.  Anak perempuan ku Farhana akan menyemak bacaan yang telah ku hafaz di malam hari, dan kalau tak sempat nak buat hari-hari, pastikan temujanji dengannya di hujung minggu. Ini sedikit sebanyak boleh membantu menambah vocab bahasa alQuran, inshaAllah.  2. Rujuk kitab tafsir yang telah ada di rumah, atau perlu tambah koleksi kitab-kitab tafsir untuk lebih pemahaman jika tidak mencukupi. 3. Hadir kelas-kelas tafsir atau subscribe ke Video YouTube dari ustaz-ustaz terkenal contoh Ustaz Nouman Ali Khan atau  podcasting.  Boleh juga pergi ke NAKCollection website.  (Buat masa ini Cuma ada 1 kelas tafsir di ofis).  3. Istiqamah waktu khusus pengajian tafsir selepas solat subuh paling kurang 1 jam.

3.    Aku sering cuai dalam pengurusan masa.  Kurang disiplin dari sudut perlaksanaan.  Jadual sudah ada, tapi tidak follow through.

Resolusi: Minta kerjasama dari suami untuk menegur bila cuai.  Kongsi jadual waktu dan minta pandangannya jika ia boleh dilaksanakan atau tidak.  Kemungkinan jadual yang dibuat tidak memenuhi hasrat semua pihak jadi hasilnya tak memberangsangkan.  Kenal pasti cabaran-cabaran yang perlu dihadapi bila nak melaksanakan sesuatu tugas.  Contoh, solat di awal waktu sering terganggu bila kehendak anak kecil tak dipenuhi.  So, kena pastikan keperluan anak-anak dipenuhi dahulu baru boleh solat dengan khusyu’, biarpun tak dapat di awal waktu. 

4.    Tarbiyah anak-anak tidak istiqamah.  Program dah ada, perlaksanaan tak begitu efisien.

Resolusi: Minta kerjasama suami dan anak-anak bagi menjayakan program tarbiyah yang telah dirancang. Contoh, usrah mingguan bersama anak-anak, anak yang sulung dipertanggungjawabkan memastikan usrah berjalan seperti yang telah dijadualkan setiap minggu.  Anak yang nombor dua memastikan adik-adik perempuan bersiap-sedia untuk menjalani usrah.  Istiqamah aktiviti tadarus dengan anak-anak setiap malam antara waktu maghrib dan isya’.  Kerjasama anak-anak yang tua untuk menyemak bacaan adik-adik yang kecil. 

Kalau nak diikutkan banyak lagi.  Tapi buat masa ini, empat perkara ini pun dah cukup mencabar buat diri ini.  Ya Allah, permudahkanlah.  Ku pinta doa dari semua dan kekuatan dari Mu jualah ya Allah, tiada daya dari hambaMu yang amat lemah ini. 

Thursday, August 1, 2013

Alkisah al-Iman

Amat menarik sekali penyampaian ustazah di kuliah al-Hikam tempohari apabila beliau berbicara tentang iman.  Ustazah memulakan bicara dengan menyentuh sifat Asma Allah al-Husna iaitu al-Jalil, yang bermakna keluhuran cinta, (definisi yang diambil dari Imam al-Ghazali).

Dengan itu, ustazah mengaitkan Iman dengan kisah cinta agung si Pencipta kepada insan tanpa mengharapkan pulangan cinta dari hamba kepadaNya. Jutaan nikmat yang Allah kurniakan kepada hambanya yang tak terhitung merupakan tanda cinta luhur lagi murni Allah kepada hambaNya. Pemberian yang melimpah-limpah kepada kehidupan manusia di muka bumi, tanpa disukat-sukat dan berkira-kira dengan hamba-hambaNya malah hamba-hambaNya pula yang sering lupa akan kurniaanNya dan sering melakukan kerosakan di muka bumi ini.

Maka apakah tanda cinta hamba yang mukmin kepada Penciptanya? Jika seorang isteri sanggup berkorban untuk suami dan keluarga tercinta, sanggup berpenat lelah menguruskan rumah tangga tanpa henti dan jemu, maka apakah tanda cinta yang luhur dari seorang mukmin kepada Penciptanya. Pastinya pengorbanan yang dirasakan tak kan pernah cukup untuk diberikan kepada Allah bagi membalas segala nikmat kehidupan yang dinikmatinya di dunia ini.  Pengorbanan yang memerlukan perjuangan yang amat hebat, tanpa henti, tak kira di waktu senang mau pun susah.

Dan satu elemen yang perlu ada dalam diri hambaNya yang mendambakan cinta agung ini, iaitu sifat cemburu di hati hambaNya kepada hamba-hambaNya yang bergelar ulama’, dan wali-waliNya yang amat hampir kepadaNya.  Memiliki sifat berlumba-lumba di antara kita amat dituntut bagi merebut cinta agung ini. 

Maka, hasilnya adalah kehalusan jiwa di dalam diri insan mukmin yang membawanya ke tahap keluhuran cinta, yang tingginya melepasi lapisan langit ke tujuh untuk menemui Penciptanya yang maha Agung, sesuai dengan siftatNya al-Jalil.  Itulah kisah cinta Agung yang melampaui wilayah bumi.  Kisah cinta antara wilayah langit dan wilayah bumi, pastinya memerlukan pengorbanan dan daya perjuangan yang amat hebat sekali.

Adakah cinta kita seagung cinta Pencipta kepada hambaNya?  Hebatkah pengorbanan kita untuk mendapatkan cinta agung Allah ini kepada kita?  Malu hamba ini nak menjawab.  Hanya dengan rahmatMu ya Allah yang aku harapkan, tiada lainnya. 

Monday, July 29, 2013

Fasa 3 Ramadhan: Ber 'i'tiqaf dan Ber 'uzlah'

Imam Hamid dari Gaza menyatakan Umat Islam sedang nyenyak tidur .  Dan disibukkan dengan hal-hal dunia, hingga tidak mempedulikan masalah dunia Islam.

MashaAllah, dah masuk fasa 3 Ramadhan.  10 hari terakhir Ramadhan, amalan sunnah yang diamalkan Rasulullah adalah I’tiqaf di masjid.  Amalan Rasulullah ini mengajar kita supaya ber 'uzlah iaitu mengasingkan diri kita di tempat ibadah supaya kita mampu mendekatkan diri kita dengan Allah dengan sebenar-benarnya. 

Apa yang saya belajar dan ingat dari kuliyah Ustazah Faridahanum, amat penting jika kita memanfaatkan sebaik-baiknya 10 hari terakhir ini dengan membuat penilaian terhadap diri dengan objektif-objectif dan matlamat yang jelas.  Maksudnya, penilaian yang kita buat terhadap amalan kita sebelum ini, seharusnya menghasilkan suatu perancangan yang lebih baik untuk masa hadapan bagi mengatasi kelemahan-kelemahan diri dan amalan kita sebelum ini. 

Contohnya, jika kita menyedari akan pembacaan kita tidak begitu banyak pada tahun ini, maka perlu kita ada perancangan dari segi jadual masa untuk mempertingkatkan bacaan kita sehari-hari.  Jika kita dapati silaturrahim kita dengan orang terdekat tidak begitu rapat, jadi kita perlu memikirkan cara-cara untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan. 

Saranannya, dalam kita mencari lailatul Qadr, kita juga membuat penilaian diri kita dengan setulus-tulusnya untuk menyediakan perancangan yang betul-betul serius untuk memperbaiki diri kita dengan penuh kesungguhan, inshaAllah.

Tulisan ini adalah sebagai motivasi diri ini yang mudah mengalah dengan keletihan yang menimpa dek urusan kerja dan keluarga.  Astaghfirullahal Azim.  Allah akan cuma membuka pintu rahmatNya untuk hambaNya yang bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan setiap amalan yang ingin dipersembahkan kepada Penciptanya. 

Peringatan yang amat mendalam dari kuliah zohor tadi di pejabat, ustaz menyuruh supaya kita sentiasa mengadu kepadaNya, sentiasa mengharapkan rahmatNya, dan jangan sekali-kali berputus asa.  Biar pun kita dah hampir ke hujung Ramadhan, tapi dengan rahmatnya kita masih lagi diberi peluang dengan baki-baki akhir ramadhan ini dengan ni’mat kesihatan dan kelapangan yang kita ada.  Jangan kita cuma akan menyesali ni’mat yang kita ada bila kita terlantar sakit tak dapat berbuat apa-apa.  Au’dzubillahi min zaalik. 

Doakan juga untuk saudara-saudara kita di Mesir, Syria, Palestin dan seluruhnya.  Cabaran umat Islam memang amat hebat di dunia ini, dan dengan sebab itu kita umat Islam dikurniakan dengan bulan Ramadhan, supaya kita dilatih menjadi umat yang kuat dan mampu mengahadapi cabaran sehebat ini.  Ya, kita mampu, jika kita betul-betul menjalani bulan ini mengikut piawaian sebenar yang telah ditetapkan Allah.  Itu janji Allah.  

Apa-apa pun Allah itu dekat, pohonlah keampunan dariNya tanpa henti-henti.  Istiqamah dengan pengaharapan itu, moga Allah membuka pintu rahmatNya di bulan yang mulia ini.  Allahumma Ameen.

Wednesday, July 17, 2013

Membaca itu Fardhu, bukan setakat Hobi


Alhamdulillah, kebiasaan pada hari Jumaat minggu ke 3 dan ke 4, kami akan berkumpul dan berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai topik yang telah diatur dalam jadual kami. Pertemuan yang diatur 2 kali sebulan ini banyak menyentuh mengenai cabaran-cabaran ibu yang bekerja dalam menjalani kehidupan harian. Cabaran-cabaran dalam mendidik anak di zaman yang serba canggih ini, dan dalam mengatur masa bagi mendapatkan ruang pengisian masa dengan pembacaan yang boleh membina pengetahuan dan meningkat keperibadian. Kami percaya perlunya kepada pembacaan yang istiqamah bagi mencapai objektif pembacaan itu sendiri dan bukan hanya melihat pembacan buku itu hanya sebagai mengisi waktu terluang atau sebagai ubat tidur sebelum waktu nya di malam hari.
 Persoalan yang dibangkitkan oleh sahabat dalam perbincangan tadi adalah bilakah masa-masa terluang yang boleh di manfaatkan pembacaan memandangkan kami semua ibu-ibu yang bekerja sepenuh masa dan akan terus menyambung bekerja apabila sampai dirumah. Dan persoalan kedua yang dibangkitkan adalah perlukah kita wanita muslimah keluar berdakwah sedangkan kerja-kerja mendidik anak dirumah itu juga amat besar ganjaran pahalanya dan dikira jihad juga. Dua persoalan ini memang amat boleh mengganggu fikiran di hati kita jika kita memikirkan alasan-alasan yang sebenarnya hanyalah hendak menyelamatkan diri kita sendiri daripada melakukan kedua-dua perkara besar ini.Kerana alasan-alasan yang bermain di fikiran kita ini sebenarnya hanya akan melambatkan lagi proses kita untuk lebih maju kehadapan, iaitu kepada suatu tahap pengetahuan yang lebih baik dab yang akan menjadikan kita insan yang lebih berguna dari sebelumnya.
 Sememangnya kita wajib membaca dan perintah membaca itu merupakan ayat pertama yang diturunkan oleh Allah, maka seharusnya kita mengambil perintah Allah itu dengan penuh keseriusan dalam diri kita. Perintah membaca itu merupakan perkara pokok bagi semua umat Islam untuk dihayati bersama, dan tidak ada alasan kita tidak menaatinya. Cuba kita lihat bangsa-bangsa lain yang memang sudah menjadikan amalan membaca ini sebagai budaya mereka contoh nya orang-orang Jepun, dan orang-orang Barat. Sewajibnya kita sebagai umat Islam mendahului orang-orang kafir ini sekiranya kita mengaku Al-quran dan Sunnah sebagai sumber bahan rujukan dalam menjalani kehidupan kita. Menuntut ilmu itu didalam Islam adalah wajib kerana dengan ilmu yang benar sahajalah yang akan menyelamatkan kehidupan kita di dunia dan juga di Akhirat. Pembacaan yang diamalkan bolehlah disandarkan kepada garis-garis panduan yang telah diberikan oleh guru yang kita percayai benar penyampaian ilmunya. Guru yang benar pasti akan memberikan panduan dan cara-cara yang boleh memantapkan lagi pemahaman sesuatu ilmu itu. Dan pastinya guru ini akan menyaran kepada buku-buku yang amat baik yang dapat menambahkan lagi pemahaman anak-anak muridnya.
 Persoalan yang kedua, kerja dirumah menguruskan anak sudah cukup besar pahalanya dan kenapa perlu keluar berjihad (contoh disini adalah menuntut ilmu sebagai jihad). Jika kita hayati mengapa kita perlu menuntut ilmu pasti kita sudah paham dengan permasalahan ini. Bolehkah kita menjadi pengurus yang baik dalam mendidik anak kita sekiranya kita tidak mempunyai ilmu. Kita mungkin sekarang boleh menjadi manusia berguna hasil dari didikan orang tua kita pada masa dahulu. Tetapi untuk zaman yang serba canggih ini kita perlu lebih berilmu dari ibu-bapa kita dahulu bagi menyediakan anak-anak kita menghadapi cabaran akhir zaman yang amat mencabar. Cuba kita rasai cabaran anak-anak muslim di akhir zaman ini dimana mereka disajikan dengan unsur-unsur yang dibawa oleh pihak Yahudi dan Nasrani yang hanya membawa permasalahan gejala sosial yang amat menyesakkan dada dan merunsingkan hati kita ibu-ibu terutama yang bekerja. Tidakkah kita perlu ada ilmu dalam bersama-sama memimpin anak-anak ini dalam mengharungi kehidupan yang penuh ranjau ini. Kepada siapa anak-anak ini mengajukan permasalahan mereka jika tidak pada ibu-bapa yang berpengetahuan dan jika tidak, mereka akan mencari guru-guru di luar sana yang tidak mampu kita atasi pengaruhnya yang amat besar. Kita perlukan kepada ilmu pengetahuan bagi menjadi bahan rujukan kepada anak-anak muda ini. Kita bukan hanya menujukan permasalahan ini kepada anak kita sahaja, tetapi anak-anak jiran kita, masyarakat kita seterusnya anak-anak sebangsa dan seagama kita.Maka dengan ini tidakkah tanggungjawab kita sekurang-kurangnya kita perlengkapkan diri kita dengan ilmu bagi langkah-langkah yang seterusnya iaitu menyampaikan. Dan ini hanyalah permulaan bagi kita semua untuk bernekad bersungguh-sungguh bagi menguatkan kepahaman kita dalam fikrah Islam sebenar-benarnya supaya kita jelas dengan manhaj yang Allah kehendaki dan bukan selain dariNya.
 Persoalan-persoalan seperti ini memang sepatutnya kita tanya pada diri kita sendiri dan kembali kepada kita jualah untuk menjawabnya. Sama ada kita mahu terus bertindak dengan melakukan sesuatu atau kita duduk diam tanpa melakukan apa pun. Saranan saya pada diri saya sendiri, bukan masalah tiada masa bagi pengisian ilmu itu, tetapi keputusan itu terletak pada diri kita sendiri. Kita yang mengatur masa itu, bukan masa yang mengatur kita.
knowledge.gif

Kisah dua Sahabat



friendshipbirds1.jpg
Kisah dua sahabat yang bermuhasabah sesama sendiri.
Sebuah cerita yang perlu dijadikan panduan kepada akhwat yang sentiasa ingin mempertingkatkan diri dan memperdekatkan diri kepada Penciptanya. Cerita mengenai dua orang sahabat yang bernama Ibrahim Adham dan Shaqiq Balkhi yang sentiasa bermahasabah diri sesama sendiri. Soalan ditujukan Shaqiq kepada Ibrahim, ‘Bagaimanakah jika terhalangnya keinginan anda kepada sesuatu’, dan Ibrahim menjawab, ‘Saya akan mengambil sikap bersabar dan jika memperolehinya akan mengucap Alhamdulillah.’ Komen Shaqiq Balkhi kepada sahabatnya, ‘anda tidak ubah seperti anjing, bagi saya, jika keinginan saya tidak tercapai akan ku ucap alhamdulillah, dan jika saya mendapatnya maka akan ku berikannya kepada orang lain yang memerlukan.’
Apakah pengajaran yang kita boleh perolehi dari pertemuan dua sahabat ini?  Mungkin kita akan tertanya-tanya apakah respon Ibrahim Idham apabila sahabatnya menyelarnya dengan menyamakan dirinya dengan seekor anjing.  Reaksi yang diberikan pastinya berbeza dengan reaksi diri kita apabila menghadapi kritik yang merendahkan diri kita sehingga ke tahap binatang.  Malah Ibrahim Idham mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya Shaqiq kerana telah menyedarkan dirinya kepada keperluan untuk membaiki diri. Cerita ini disampaikan oleh Ustazah dalam kelas al Hikam bagi memperjelaskan kepada anak muridnya akan ayat yang diterjemah dari bahasa Arab An Nas, manusia yang benar-benar berjiwa manusia dan bukan an Nasnas iaitu berwajahkan manusia tetapi berjiwa kebinatangan. Shaqiq Balkhi adalah contoh jelas kepada An Nas sebenar yang bersifat ithar, mengutamakan orang lain daripada dirinya, dan bukan hanya bersifat binatang yang biarpun memiliki sifat sabar, tapi sifat ini juga dimiliki oleh seekor anjing. Dan mengikut pengajian Al-Quran banyak sifat-sifat binatang ini boleh dijadikan pengajaran kepada manusia. Contohnya, kisah anjing didalam surah al-Kahfi, semut dalam surah al-Ankabut. Maka oleh itu kisah ini boleh dijadikan panduan bagi kita menilai diri kita yang sebenarnya. Hanya dengan senantiasa bermuhasabah diri dan membandingkan diri kita dengan orang-orang yang lebih hebat membuat kita rasa terpanggil untuk mengubah keadaan kita sekarang kepada yang lebih baik dari masa ke semasa.
Banyak lagi pengajaran yang boleh dikupas dari kisah dua orang sahabat ini.  Detail pertemuan sahabat ini seperti tempat, tarikh tidaklah menjadi perkara yang hendak saya sertakan, tetapi ia adalah kisah benar dua sahabat yang bertemu kerana Allah. Apabila hubungan kita sesama manusia ini berdasarkan konsep kerana Allah, maka tidak berlakunya pertelingkahan pendapat apabila sahabatnya menegur akan kelemahan sahabatnya.  Berlakunya niat yang senantiasa menginginkan peningkatan pada dirinya setelah disedarkan oleh sahabatnya biar pun ia merupakan sesuatu yang tidak disukai, bahkan menerimanya dengan hati terbuka. Inilah contoh terbaik ukhwah fillah dimana tiada rasa kecil hati apabila berlakunya perbezaan pendapat dan menerima pendapat itu dengan lebih positif lagi dan akan mendatangkan keuntungan kepada diri sahabat itu. Oleh itu objektif kita bersahabat hendaklah senantiasa ingat-mengingat sesama sendiri dan sentiasa berlumba-lumba membuat kebaikan.  Hasilnya ialah peningkatan diri yang berterusan kepada yang lebih baik dan jauh dari pujukan syaitan di sekeliling kita. Wallahu a’lam.