Thursday, August 15, 2013

Rintihan kemenangan di Eidul Fitri.

Anak-anak kecil gembira beraya di kampung.
Sambutan Eidul Fitri di Negara tercinta ini disambut dengan suasana gembira.  Alhamdulillah, suasananya memang aman, tetapi cabaran nak menghayati hari kemenangan untuk seluruh umat Islam ini dengan sebaik-baiknya memang hebat.  Tiap-tiap tahun kita disajikan dengan rancangan-rancangan hiburan yang amat mengasyikkan.  Setiap tahun juga hantu-hantu raya memenuhi cerita-cerita di kaca TV.  Apa kena mengena dengan cerita-cerita hantu dengan eidul fitri?  Bila difikirkan, betul lah agaknya, syaitan-syaitan dah dilepaskan, maka beraya sakanlah mereka setelah sebulan di ikat dalam bulan Ramadhan.

Sambutan hari raya tahun ini juga terasa sedih dan sayu dengan berita-berita pembunuhan rakyat Mesir di Facebook oleh tentera-tentera Mesir.  Rasa cukup-cukup sudah nak beraya, tak da hati nak sambung raya untuk sebulan syawal ini. 

Sebulan rakyat Mesir berpuasa di bulan Ramadhan amat memberi kekuatan kepada mereka untuk keluar beramai-ramai mempertahankan kerajaan Mesir yang diketuai Dr. Mursi yang sah dari dirampas oleh tentera-tentera Mesir.  Jelas mabrur puasa mereka.  Sedang aku berkira-kira, mabrur kah amalan puasa ku di bulan Ramadhan tahun ini?  Bertambah sedih rasanya.  Tak tentu lagi rezeki ku di Ramadhan akan datang.  Sedih lagi bila melihat sambutan eidul fitri yang berlebih-lebihan dengan hiburan yang melampau-lampau.  Cukup-cukup sudah…

Sedih dengan pencapaian diri yang amat lemah…hafazan alQuran yang amat lemah, pemahaman AlQuran juga lemah, pembacaan buku-buku islam/ilmiah yang sedikit sekali…and the list goes on.  Memang wajar sekali kita umat Islam kini berada di tahap paling bawah sekali.  Renungan buat diri sendiri terasa insaf.  Amat kerdil sekali usaha hambaMu ini ya Allah.  Mana nak diharap kemenangan Islam jika diri ini masih alpa dan lalai dengan kesibukan dunia. 

Jika saudara-saudara Islam ku di Mesir bangkit melawan taghut dan beribu yang syahid.  Yang pasti, jiwa mereka sudah bangkit.  Sedangkan aku di sini, sedang lena tidur dibuai mimpi indah dengan kesenangan dunia yang tak habis-habis menipu. 

Tahun ini aku masuk ofis awal sedikit.  Berita Mesir pagi tadi amat memberikan kesan.  Jika nak diubah dunia ini dalam masa yang singkat memang tidak ada daya.  Tapi apa sumbangan ku untuk ummat ini.  Banyak yang perlu dibuat untuk hidup yang amat singkat ini.  Umur pun tak muda lagi.  Tinggal sisa-sisa baki yang ada ini, terasa sedikit sangat usaha untuk diri sendiri apa lagi keluarga dan masyarakat.  Apa nak dijawab di hadapan Allah nanti. 

Awal Syawal ini, hasil dari penilaian diri yang dhaif ini dari sepanjang Ramadhan terutamanya 10 hari terakhir, aku kenal pasti kelemahan-kelemahan diri.  Antaranya:

1.    Pembacaan solat ku, amat kurang surah-surah atau ayat-ayat baru yang dihafal.  Aku hanya ulang-ulang surah-surah biasa yang dibaca dari hafalan zaman sekolah dulu.  Jika ada surah baru pun, sering ditangguh pembacaan dek kerana nak cepat sambung balik dengan kerja, dan hal anak-anak dan keluarga.

Resolusi: Memperkemaskan lagi jadual dan program hafazan.  Berpakat dengan anak perempuan ku Farhana menyambung hafazan surah-surah dari sekolah Al-Amin dahulu.  (Anak-anak sebelum ini di sekolah Al-Amin, ada program hafazan, tapi sejak berpindah ke KK, kini hanya bersekolah di Sekolah kebangsaan.  Banyak ketinggalan dari segi tarbiah agamanya)

2.    Pemahaman ayat-ayat al-Quran ku amat lemah.  Jika imam yang tahfiz membacakan surah-surah panjang semasa solat terawikh, aku tak dapat nak mengenal pasti perkataan yang disebut menyebabkan susah untuk khusyu’ dalam solat.  Astaghfirullahal Azim.  Ayat-ayat Mu itu yang sebagai Mukjizat, berlalu begitu sahaja, tiada pemahaman.  Ampuni hambaMu ini Ya Allah. 

Resolusi: 1. Gunakan al-Quran Syamil untuk hafazan dengan mengenal pasti makna ayat-ayat yang hendak dihafal.  Tetapkan 4-5 ayat yang hendak dihafal untuk hari itu, dan pastikan tahu makna-maknanya dahulu bagi memudahkan hafazan untuk diulang-ulang sepanjang hari.  Ayat-ayat yang dihafaz boleh dibacakan dalam solat.  Anak perempuan ku Farhana akan menyemak bacaan yang telah ku hafaz di malam hari, dan kalau tak sempat nak buat hari-hari, pastikan temujanji dengannya di hujung minggu. Ini sedikit sebanyak boleh membantu menambah vocab bahasa alQuran, inshaAllah.  2. Rujuk kitab tafsir yang telah ada di rumah, atau perlu tambah koleksi kitab-kitab tafsir untuk lebih pemahaman jika tidak mencukupi. 3. Hadir kelas-kelas tafsir atau subscribe ke Video YouTube dari ustaz-ustaz terkenal contoh Ustaz Nouman Ali Khan atau  podcasting.  Boleh juga pergi ke NAKCollection website.  (Buat masa ini Cuma ada 1 kelas tafsir di ofis).  3. Istiqamah waktu khusus pengajian tafsir selepas solat subuh paling kurang 1 jam.

3.    Aku sering cuai dalam pengurusan masa.  Kurang disiplin dari sudut perlaksanaan.  Jadual sudah ada, tapi tidak follow through.

Resolusi: Minta kerjasama dari suami untuk menegur bila cuai.  Kongsi jadual waktu dan minta pandangannya jika ia boleh dilaksanakan atau tidak.  Kemungkinan jadual yang dibuat tidak memenuhi hasrat semua pihak jadi hasilnya tak memberangsangkan.  Kenal pasti cabaran-cabaran yang perlu dihadapi bila nak melaksanakan sesuatu tugas.  Contoh, solat di awal waktu sering terganggu bila kehendak anak kecil tak dipenuhi.  So, kena pastikan keperluan anak-anak dipenuhi dahulu baru boleh solat dengan khusyu’, biarpun tak dapat di awal waktu. 

4.    Tarbiyah anak-anak tidak istiqamah.  Program dah ada, perlaksanaan tak begitu efisien.

Resolusi: Minta kerjasama suami dan anak-anak bagi menjayakan program tarbiyah yang telah dirancang. Contoh, usrah mingguan bersama anak-anak, anak yang sulung dipertanggungjawabkan memastikan usrah berjalan seperti yang telah dijadualkan setiap minggu.  Anak yang nombor dua memastikan adik-adik perempuan bersiap-sedia untuk menjalani usrah.  Istiqamah aktiviti tadarus dengan anak-anak setiap malam antara waktu maghrib dan isya’.  Kerjasama anak-anak yang tua untuk menyemak bacaan adik-adik yang kecil. 

Kalau nak diikutkan banyak lagi.  Tapi buat masa ini, empat perkara ini pun dah cukup mencabar buat diri ini.  Ya Allah, permudahkanlah.  Ku pinta doa dari semua dan kekuatan dari Mu jualah ya Allah, tiada daya dari hambaMu yang amat lemah ini. 

No comments:

Post a Comment