Tuesday, September 17, 2013

Isteri membutuhkan perhatian suami

Apa yang buat saya sebagai seorang isteri berasa gembira dan bahagia?  Seorang suami yang rajin mendengar cerita-ceriti saya.  Mesti suami-suami kat luar sana menyampah nak baca entri ni.  Bacalah...moga bermanfaat, inshaAllah.


Semua wanita dikurniakan Allah dengan kelebihan bercerita.  Bercerita boleh jadi dalam bentuk mengadu, membebel, meluahkan perasaan, berkongsi pendapat, apa pun memang kami suka berkongsi maklumat (term positifnya).  Cerita itu boleh jadi kisah sehariannya di ofis bagi ibu yang bekerja, dan ia boleh jadi juga aduan kerja-kerja rumah yang banyak bagi ibu di rumah.

Kami tidak minta banyak.  Sedang Ummul Mukminin kita Aisha juga bercerita panjang dengan suaminya Nabi Muhammad yang pastinya teramatlah sibuk berbanding suami kita.  Kisahnya memang teramatlah panjang pabila beliau menceritakan satu-satu kisah sebelas wanita yang menceritakan kisah suami masing-masing dan kisah-kisah itulah yang diceritakannya kepada nabi tidak lepas seorang pun.  Akhlak Nabi seperti yang kita jangka, mendengar sepenuhnya dengan penuh minat dan menjawab dengan baik sekali.

Tak rugi pun.  Dengarkanlah sahaja bebelan si isteri, kerana sesi mendengar itu pasti membuahkan hasil yang amat baik untuk si isteri.  Jadilah kaunselor terbaik dengan mendengar luahan itu dengan sebaiknya.  Kerana ia merupakan terapi melepaskan segala jenis emosi negatif dalam diri isteri.  Dan jangan risau sang suami karena  isteri yang bahagia, pasti akan membuatkan seisi rumah itu ceria. 

Kisah pemimpin sehebat Umar yang amat bersabar dengan leteran isterinya yang dapat memberikan kesedaran kepada seorang sahabat yang ingin mengadu kisah isterinya kepada Umar.  Apa yang membuat si suami terasa sangat hebat sehingga tidak sedikit pun mahu meluangkan sedikit masa untuk  keluhan si isteri.  Ambilah pengajaran dari akhlak Rasulullah SAW dan para sahabat.  Sebagai seorang Muslim, kita tidak kekeringan ibrah atau pengajaran dari Sirah Rasulullah dan para Sahabat.  Belajarlah kita dari kisah agung manusia-manusia hebat ini untuk kita jadi panduan dalam kehidupan kita.