Wednesday, July 17, 2013

Membaca itu Fardhu, bukan setakat Hobi


Alhamdulillah, kebiasaan pada hari Jumaat minggu ke 3 dan ke 4, kami akan berkumpul dan berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai topik yang telah diatur dalam jadual kami. Pertemuan yang diatur 2 kali sebulan ini banyak menyentuh mengenai cabaran-cabaran ibu yang bekerja dalam menjalani kehidupan harian. Cabaran-cabaran dalam mendidik anak di zaman yang serba canggih ini, dan dalam mengatur masa bagi mendapatkan ruang pengisian masa dengan pembacaan yang boleh membina pengetahuan dan meningkat keperibadian. Kami percaya perlunya kepada pembacaan yang istiqamah bagi mencapai objektif pembacaan itu sendiri dan bukan hanya melihat pembacan buku itu hanya sebagai mengisi waktu terluang atau sebagai ubat tidur sebelum waktu nya di malam hari.
 Persoalan yang dibangkitkan oleh sahabat dalam perbincangan tadi adalah bilakah masa-masa terluang yang boleh di manfaatkan pembacaan memandangkan kami semua ibu-ibu yang bekerja sepenuh masa dan akan terus menyambung bekerja apabila sampai dirumah. Dan persoalan kedua yang dibangkitkan adalah perlukah kita wanita muslimah keluar berdakwah sedangkan kerja-kerja mendidik anak dirumah itu juga amat besar ganjaran pahalanya dan dikira jihad juga. Dua persoalan ini memang amat boleh mengganggu fikiran di hati kita jika kita memikirkan alasan-alasan yang sebenarnya hanyalah hendak menyelamatkan diri kita sendiri daripada melakukan kedua-dua perkara besar ini.Kerana alasan-alasan yang bermain di fikiran kita ini sebenarnya hanya akan melambatkan lagi proses kita untuk lebih maju kehadapan, iaitu kepada suatu tahap pengetahuan yang lebih baik dab yang akan menjadikan kita insan yang lebih berguna dari sebelumnya.
 Sememangnya kita wajib membaca dan perintah membaca itu merupakan ayat pertama yang diturunkan oleh Allah, maka seharusnya kita mengambil perintah Allah itu dengan penuh keseriusan dalam diri kita. Perintah membaca itu merupakan perkara pokok bagi semua umat Islam untuk dihayati bersama, dan tidak ada alasan kita tidak menaatinya. Cuba kita lihat bangsa-bangsa lain yang memang sudah menjadikan amalan membaca ini sebagai budaya mereka contoh nya orang-orang Jepun, dan orang-orang Barat. Sewajibnya kita sebagai umat Islam mendahului orang-orang kafir ini sekiranya kita mengaku Al-quran dan Sunnah sebagai sumber bahan rujukan dalam menjalani kehidupan kita. Menuntut ilmu itu didalam Islam adalah wajib kerana dengan ilmu yang benar sahajalah yang akan menyelamatkan kehidupan kita di dunia dan juga di Akhirat. Pembacaan yang diamalkan bolehlah disandarkan kepada garis-garis panduan yang telah diberikan oleh guru yang kita percayai benar penyampaian ilmunya. Guru yang benar pasti akan memberikan panduan dan cara-cara yang boleh memantapkan lagi pemahaman sesuatu ilmu itu. Dan pastinya guru ini akan menyaran kepada buku-buku yang amat baik yang dapat menambahkan lagi pemahaman anak-anak muridnya.
 Persoalan yang kedua, kerja dirumah menguruskan anak sudah cukup besar pahalanya dan kenapa perlu keluar berjihad (contoh disini adalah menuntut ilmu sebagai jihad). Jika kita hayati mengapa kita perlu menuntut ilmu pasti kita sudah paham dengan permasalahan ini. Bolehkah kita menjadi pengurus yang baik dalam mendidik anak kita sekiranya kita tidak mempunyai ilmu. Kita mungkin sekarang boleh menjadi manusia berguna hasil dari didikan orang tua kita pada masa dahulu. Tetapi untuk zaman yang serba canggih ini kita perlu lebih berilmu dari ibu-bapa kita dahulu bagi menyediakan anak-anak kita menghadapi cabaran akhir zaman yang amat mencabar. Cuba kita rasai cabaran anak-anak muslim di akhir zaman ini dimana mereka disajikan dengan unsur-unsur yang dibawa oleh pihak Yahudi dan Nasrani yang hanya membawa permasalahan gejala sosial yang amat menyesakkan dada dan merunsingkan hati kita ibu-ibu terutama yang bekerja. Tidakkah kita perlu ada ilmu dalam bersama-sama memimpin anak-anak ini dalam mengharungi kehidupan yang penuh ranjau ini. Kepada siapa anak-anak ini mengajukan permasalahan mereka jika tidak pada ibu-bapa yang berpengetahuan dan jika tidak, mereka akan mencari guru-guru di luar sana yang tidak mampu kita atasi pengaruhnya yang amat besar. Kita perlukan kepada ilmu pengetahuan bagi menjadi bahan rujukan kepada anak-anak muda ini. Kita bukan hanya menujukan permasalahan ini kepada anak kita sahaja, tetapi anak-anak jiran kita, masyarakat kita seterusnya anak-anak sebangsa dan seagama kita.Maka dengan ini tidakkah tanggungjawab kita sekurang-kurangnya kita perlengkapkan diri kita dengan ilmu bagi langkah-langkah yang seterusnya iaitu menyampaikan. Dan ini hanyalah permulaan bagi kita semua untuk bernekad bersungguh-sungguh bagi menguatkan kepahaman kita dalam fikrah Islam sebenar-benarnya supaya kita jelas dengan manhaj yang Allah kehendaki dan bukan selain dariNya.
 Persoalan-persoalan seperti ini memang sepatutnya kita tanya pada diri kita sendiri dan kembali kepada kita jualah untuk menjawabnya. Sama ada kita mahu terus bertindak dengan melakukan sesuatu atau kita duduk diam tanpa melakukan apa pun. Saranan saya pada diri saya sendiri, bukan masalah tiada masa bagi pengisian ilmu itu, tetapi keputusan itu terletak pada diri kita sendiri. Kita yang mengatur masa itu, bukan masa yang mengatur kita.
knowledge.gif

No comments:

Post a Comment