Wednesday, July 17, 2013

Kisah dua Sahabat



friendshipbirds1.jpg
Kisah dua sahabat yang bermuhasabah sesama sendiri.
Sebuah cerita yang perlu dijadikan panduan kepada akhwat yang sentiasa ingin mempertingkatkan diri dan memperdekatkan diri kepada Penciptanya. Cerita mengenai dua orang sahabat yang bernama Ibrahim Adham dan Shaqiq Balkhi yang sentiasa bermahasabah diri sesama sendiri. Soalan ditujukan Shaqiq kepada Ibrahim, ‘Bagaimanakah jika terhalangnya keinginan anda kepada sesuatu’, dan Ibrahim menjawab, ‘Saya akan mengambil sikap bersabar dan jika memperolehinya akan mengucap Alhamdulillah.’ Komen Shaqiq Balkhi kepada sahabatnya, ‘anda tidak ubah seperti anjing, bagi saya, jika keinginan saya tidak tercapai akan ku ucap alhamdulillah, dan jika saya mendapatnya maka akan ku berikannya kepada orang lain yang memerlukan.’
Apakah pengajaran yang kita boleh perolehi dari pertemuan dua sahabat ini?  Mungkin kita akan tertanya-tanya apakah respon Ibrahim Idham apabila sahabatnya menyelarnya dengan menyamakan dirinya dengan seekor anjing.  Reaksi yang diberikan pastinya berbeza dengan reaksi diri kita apabila menghadapi kritik yang merendahkan diri kita sehingga ke tahap binatang.  Malah Ibrahim Idham mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya Shaqiq kerana telah menyedarkan dirinya kepada keperluan untuk membaiki diri. Cerita ini disampaikan oleh Ustazah dalam kelas al Hikam bagi memperjelaskan kepada anak muridnya akan ayat yang diterjemah dari bahasa Arab An Nas, manusia yang benar-benar berjiwa manusia dan bukan an Nasnas iaitu berwajahkan manusia tetapi berjiwa kebinatangan. Shaqiq Balkhi adalah contoh jelas kepada An Nas sebenar yang bersifat ithar, mengutamakan orang lain daripada dirinya, dan bukan hanya bersifat binatang yang biarpun memiliki sifat sabar, tapi sifat ini juga dimiliki oleh seekor anjing. Dan mengikut pengajian Al-Quran banyak sifat-sifat binatang ini boleh dijadikan pengajaran kepada manusia. Contohnya, kisah anjing didalam surah al-Kahfi, semut dalam surah al-Ankabut. Maka oleh itu kisah ini boleh dijadikan panduan bagi kita menilai diri kita yang sebenarnya. Hanya dengan senantiasa bermuhasabah diri dan membandingkan diri kita dengan orang-orang yang lebih hebat membuat kita rasa terpanggil untuk mengubah keadaan kita sekarang kepada yang lebih baik dari masa ke semasa.
Banyak lagi pengajaran yang boleh dikupas dari kisah dua orang sahabat ini.  Detail pertemuan sahabat ini seperti tempat, tarikh tidaklah menjadi perkara yang hendak saya sertakan, tetapi ia adalah kisah benar dua sahabat yang bertemu kerana Allah. Apabila hubungan kita sesama manusia ini berdasarkan konsep kerana Allah, maka tidak berlakunya pertelingkahan pendapat apabila sahabatnya menegur akan kelemahan sahabatnya.  Berlakunya niat yang senantiasa menginginkan peningkatan pada dirinya setelah disedarkan oleh sahabatnya biar pun ia merupakan sesuatu yang tidak disukai, bahkan menerimanya dengan hati terbuka. Inilah contoh terbaik ukhwah fillah dimana tiada rasa kecil hati apabila berlakunya perbezaan pendapat dan menerima pendapat itu dengan lebih positif lagi dan akan mendatangkan keuntungan kepada diri sahabat itu. Oleh itu objektif kita bersahabat hendaklah senantiasa ingat-mengingat sesama sendiri dan sentiasa berlumba-lumba membuat kebaikan.  Hasilnya ialah peningkatan diri yang berterusan kepada yang lebih baik dan jauh dari pujukan syaitan di sekeliling kita. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment