Thursday, January 17, 2013

Godaan dan Hati

Lama rasanya tak update blog saya ni.  Ada sedikit perkongsian maklumat dari sedikit pembacaan saya dengan kawan-kawan semua, in shaAllah.

Petikan dari buku Dr. Taufiq al-Waie.

"Individu dan bangsa yang hidup bersama kemungkaran, menerima dengan mesra dan meredai budaya mungkar bangsa akan musnah.  Hati mereka akan diselaput dan fikiran mereka akan tercemar.  Hawa nafsu akan berleluasa sedikit demi sedikit sehingga mereka ketagih melakukannya.  Mereka mula tidak kisah dengan kewujudan dan penguasaan mungkar.  Dengan ini mereka tidak mampu dan upaya menyuruh manusia berbuat baik atau melarang mereka berbuat jahat kerana hawa nafsu mereka sentiasa berbolak balik.  Mereka kehilangan petunjuk, cahaya, bantuan dan keredaan Allah."

Dalam buku ini, Dr. Taufiz al-Waie menghidangkan kita dengan satu hadith yang boleh dijadikan peringatan dan menambah pemahaman kepada keadaan umat Islam akhir zaman ini yang berada jauh dari landasan yang benar.    


Huzaifah r.a. diriwayatkan berkata bahawa beliau dengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Godaan akan melanda hati-hati ibarat batu kecil sebiji demi sebiji.  Mana-mana hati yang menerima godaan ini akan dititik dengan satu titik hitam.  Mana-mana hati yang menolaknya akan dititik dengan satu titik putih. Sehinggalah hati-hati ini sama ada menjadi putih seperti batu sofa yang tidak akan dimudaratkan oleh godaan selagimana ada langit dan bumi.  Satu lagi hati yang hitam perang seperti berbekas arang yang senget yang tidak mengenali kebaikan atau mencegah kemungkaran.  Apa yang diketahuinya apa yang sesuai dengan hawa nafsunya."

Apabila hati manusia menjadi seperti bekas arang yang senget diselaputi kegelapan, dosa dan kemungkaran, berdiam tanpa menyuruh berbuat baik dan mencegah berbuat jahat, ketika itu laknat Allah akan melanda dan mereka disingkir daripada rahmat Allah taala.

Na'uzubillahi min zalik.  Kesimpulannya, sentiasa bermuhajadah dengan banyakkan menolak godaan dan bisikan syaitan untuk membersihkan hati dari dinodai dan semoga dengan usaha yang berterusan ini menjadikan kita lebih sensitif dengan permasalahan masyarakat di sekeliling kita.  InshaAllah.

No comments:

Post a Comment