Thursday, January 3, 2013

Khowathir Quraniyah

Saya nak kongsikan sedikit dari bacaan buku bertajuk Khowathir Quraniyah tulisan Amru Khalid, pakar motivasi Mesir yang amat popular terutama di kalangan pemuda seluruh dunia.  

Dalam buku ini, Amru Khalid berjaya mengeluarkan mutiara-mutiara indah dari AlQuranul Karim yang pastinya akan membuatkan kita tersedar bahawa selama ini kita tidak menghargai kitab mulia yang Allah kurniakan kepada kita.  Saya ingin berkongsi sedikit dari bacaan saya bagi tafsir untuk permulaan surah i.e. Al-Baqarah, Al-An'am dan Al-A'raf.

Antara yang amat menarik perhatian yang ingin saya kongsikan adalah seperti berikut:

Ketiga surah, iaitu al-Baqarah, al-An'am dan Al-A'raf menekankan tentang adanya kesatuan dalam risalah suci ini.  Wahai kaum Muslimin! Setelah anda memahami urgensi bertauhid kepada Allah ta'ala secara i'tiqad maupun aplikasinya (dalam surah Al-An'am), sungguh Allah SWT berjanji menyerahkan bumi kepada anda agar dapat melaksanakan syariat Allah dengan sebenar-benarnya.  Wahai umat Muhammad!  Anda semua bertanggungjawab untuk mengatur bumi (dalam surah Al-Baqarah), lalu di manakah anda memposisikan diri dalam persaingan yang terjadi antara yang haq dan bathil? (dalam surah Al-A'raf).  

Jelas sekali surah-surah ini amat berkaitan dan kita perlu sentiasa berusaha untuk memahami ayat-ayat suci Al-Quran ini semoga kita diberi petunjuk oleh Allah SWT.  Ekstrak perenggan di atas, Amru Khalid mengingatkan kita, sebagai Muslim kita perlu ada pendirian yang tegas bila berlakunya pertempuran haq dan batil.  Kita tidak boleh mengambil posisi atas pagar, dengan berdiam diri, tidak mahu ambil tahu kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.  Umat Islam tak diajar hanya untuk mementingkan diri sendiri, jaga keluarga sendiri tak peduli jika masyarakat bermasalah pemikiran dan aqidahnya.  Nabi kita tak mengaku kita sebagai umatnya jika kita tak ambil berat permasalahan umatnya.  Amat penting keperluan untuk ambil berat tentang hak manusia yang lain.  Hatta non muslim sekali pun.  Jangan fikir kita muslim yang baik, kita akan lepas masuk ke syurga tanpa ditanya  apa sumbangan kita kepada manusia yang lain.  Bolehkah kita menjawab jiran non muslim kita yang menuntut haknya kepada pengetahuan Islam di hari pembalasan nanti.  Islam itu itu rahmat kepada semua.  Dan tugas kita adalah menyampaikan keindahan Islam itu.  Pastinya kita akan ditanya oleh Allah, dan adakah jawapan yang bakal kita jawab di hadapanNya.

Kerana ini amat penting, sehingga di dalam Al-Quran, dalam surah Al-A'raf diceritakan mengenai satu golongan yang tidak di tempatkan di neraka maupun di syurga.  Kita tidak mahu termasuk dalam golongan ini, kerana teramat mudah kita terhumban ke neraka.  Na'uzhubillah.  

Saya amat sarankan buku ini dibaca oleh semua.  Banyak mutiara-mutiara yang perlu digali dari kitab suci Al-Quran ini, dan pastinya tak akan ketemu dengan hanya membaca quran terjemahan biasa.  Sebab kita bukan alim ulama, kita perlu banyak membaca dan mencari buku-buku rujukan yang ditulis oleh manusia hebat yang mursyid yang diberi petunjuk oleh Allah.  Tanpa alim-ulama ini, manakan kita boleh perolehi cahaya untuk menjadi panduan dalam kehidupan yang penuh cabaran di akhir zaman ini.  Kehidupan moden ini sudah amat jauh tersasar dari tujuan hidup sebenar yang Allah ciptakan kita di muka bumi ini.  Mari sama-sama kita tingkatkan pengetahuan Islam kita moga kita selamat di dunia dan di akhirat.  Wallahua A'lam.  

No comments:

Post a Comment