Tuesday, October 2, 2012

Anak dan Isteri Menjadi Penyejuk Mata

Siti Hajar menjadi contoh seorang ibu yang berjiwa besar, redha ditinggal Nabi Ibrahim di tengah-tengah gurun kering kontang sehelai sepinggang berteman bayi yang kehausan dek susu ibunya yang sudah kering.  Keadaan fizikalnya masih amat lemah setelah baru sahaja melalui pengalaman yang amat payah melahirkan anak, Keadaan emosinya masih tidak stabil. 

Manusia yang paling waras, sekuat mana fizikal sekalipun tidak akan dapat menerima ujian sebesar itu.  Ia tak dapat dijangkau akal.  Begitulah kekuatan manusia itu jika disandarkan dengan keimanan dan kecintaan kepada Allah, ujian setinggi gunung pun dapat diatasi. 

Dari kisah agung Siti Hajar dan Ismail, mereka inilah penyejuk mata dalam sebuah keluarga.  Adakah ada ciri-ciri Hajar dan Ismail ini dalam keluarga kita?  Sejauh langit dan bumi diri ini nak dibanding dengan Hajar.  Mereka ini manusia Rabbani.  Hidup mengikut peraturan dan ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.  Penuh dengan ketaatan, pantang engkar pada ketentuanNya. 

Tiga kali pertanyaan Hajar pada Nabi Ibrahim.  “Mengapa kau tinggalkan aku dan Isma’il di tengah gurun kontang ini ya Ibrahim?’  Tak dijawab.  Melihatkan Ibrahim membisu, Hajar bertanya “ Adakah ini adalah perintah dari Allah?”  Hanya sepatah Nabi Ibrahim menjawab, “Ya”.  Hajar diam dan patuh.  Tiada bantahan, terus akur dengan perintah Nya. 

Sungguh tinggi ketaatan dan kecintaan Hajar kepada Penciptanya, mengatasi kecintaan kepada suaminya.  Kisah agung yang diceritakan di dalam Al-Quran ini mampu memberi inspirasi kepada kaum wanita supaya menjadi sehebat Hajar.  Segala ujian getir kehidupan dapat mampu di atasi dengan cemerlang, mengangkat martabat kedudukan di sisi Allah. 

Begitulah keimanan kepada Qada’ dan Qadar Allah.  Redha dengan segala ujian kehidupan di dunia ini.  Tak pernah lupa janji hamba kepada Penciptanya sebagai Khalifah di mukabumi.  Ada tujuan dan tugas dipikul bagi menjaga ummat dan ugamaNya.  Misi besar ini menjadi tunggak tujuan hidup manusia di dunia ini.  Barulah mulia manusia ini di sisi Allah.  Umat Islam umat yang mulia, memikul tanggungjawab besar ini dengan penuh amanah, semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah dan tidak selainNya.  Tauhid uluhiyyah menjadi pegangan, Allah sebagai pemutus hukum dalam kehidupan.  Syariat Islam menjadi panduan hidup, AlQuran dan Sunnah dijadikan sumber.  Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment