Monday, September 10, 2012

Musibah


Mukmin yang mempunyai keimanan yang kuat akan menerima musibah yang diturunkan oleh Allah kepadanya dengan redha, dalam masa yang sama juga akan memperolehi hidayah dan ada pahalanya.  Berbeza pula dengan hambanya yang mengaku beriman tetapi tidak redha dengan ketentuan Allah maka laknat yang diperolehinya.  Semua yang terjadi adalah ketentuan Allah, cuma natijahnya sahaja yang berbeza.  Sesuatu peristiwa yang ditimpakan kepada hamba mukminnya adalah untuk diinsafi dan dijadikan pengajaran, bukan untuk dikutuk.
Ustazah menerangkan di kuliah tengahari tadi, ni’mat yang ditarik oleh Allah, contohnya peristiwa kecurian wang, adalah merupakan penyelamat kepada hamba tadi dari neraka. Jika hamba yang mukmin tadi meredhai akan wangnya dicuri dan menginsafinya, dan ditambah pula dengan rasa syukur dan berterima kasih kepada si pencuri dan seterusnya menghalalkan wang itu kepada si pencuri. Maka dengan sifat syukur yang lahir pada mukmin tadi akan menghilangkan sifat kikir yang terdapat dalam dirinya. 

Tindakan si mukmin tadi mendoakan pula kepada si pencuri tadi supaya Allah memberikan hidayah kepadanya, maka dengan izin Allah wang yang dicuri itu akan memberi kesan kepada si pencuri itu untuk berubah menjadi seorang yang baik. Banyak kebaikan yang diperolehi oleh si hamba mukmin tadi, iaitu dia memperolehi pahala di atas keredhaannya menerima musibah dengan lapang hati, berjaya pula membuang sifat kikir yang ada di dalam dirinya, maka dia akan dijauhi api Neraka oleh Allah subhanahu wa ta’ala dan akhirnya dengan secara tidak langsung dia berjaya menghentikan kes kecurian yang mungkin boleh berlaku kepada orang lain sekiranya si pencuri tadi mendapat hidayah dari Allah dan bertaubat dengan tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu.

Kebaikan hati ini tidak berbentuk zahiriah, tidak dapat dilihat oleh orang lain kerana ia melibatkan kehalusan jiwa dan ketelusan hati yang hanya Allah mengetahuinya tetapi ia memberikan kesan yang amat mendalam dan menghasilkan kebaikan pada diri sendiri dan juga kepada orang lain, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment