Sunday, July 29, 2012

Ujian untuk orang2 yang beriman itu Pasti


Dalam hal ini sebagai seorang wanita bergelar isteri, saya amat mengagumi kekuatan luar biasa dalam diri seorang wanita yang bernama Dr. Wan Azizah. Seorang wanita tidak akan menyokong seratus peratus suaminya jika dia tidak mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada suaminya dan apatah lagi sekiranya suaminya seorang yang tidak mempunyai peribadi dan akhlaq yang baik. Bagi isteri-isteri yang jika suaminya yang memang tak berakhlak, terkenal dengan kaki perempuannya, pasti sudah lama mereka tinggalkan suaminya. Tetapi bukan dalam kes Anwar dan keluarganya kerana Anwar seorang yang berkeperibadian tinggi, dan seorang ketua keluarga yang dihormati.


Sungguh jelas kita lihat keluarga ini tak pernah goyah dengan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada ayah anak-anak ini. Merekalah yang berhak dalam memberikan penilaian yang sebenar. Jika kita tidak dapat penilaian dari mulut mereka sendiri, kita boleh maklum dengan keutuhan keluarga ini menghadapi ujian yang amat besar ini. Tanya diri kita, jika kita diuji sama berat dengan ujian yang dikenakan kepada keluarga ini, mampukah kita menghadapinya dengan begitu sabar sekali. Malah mereka ini boleh mencapai lebih jauh lagi dalam kehidupan mereka apabila mereka boleh mengatasi ujian-ujian ini. Contoh yang dapat saya berikan ialah semasa DSAI dipenjarakan, saya masih ingat anak lelakinya yang baru berusia 9 tahun berusaha mendapatkan petition di sekolah untuk sama berjuang menegakkan kebenaran bagi ayahnya (kawan saya merupakan guru di sekolah anak DSAI). Dr. Wan Azizah sendiri berjaya memimpin PKR semasa suaminya merengkok di dalam penjara. 
Kekuatan apakah yang ada di dalam diri wanita ini jika bukan keyakinan yang amat tinggi kepada suaminya DSAI dan juga bukankah dengan keizinan dan kekuasaan Allah jua yang Maha Perancang sesuatu. Tidakkah kita percaya kepada Qada’ dan Qadar? Keluarga inilah yang telah lulus ujian yang Allah turunkan di mana mereka bukan sahaja sabar tetapi dapat mengatasinya pula dengan keputusan yang amat cemerlang sekali. Ini dibuktikan oleh Nurul Izzah, anak sulungnya yang menjadi top student di Uniten semasa ayahnya merengkok di penjara. Ini bukan calang-calang manusia yang Allah anugerahkan untuk kita jadikan pengajaran dan contoh tauladan. Kita sibuk-sibuk nak memburukkan orang lain, walhal keluarga kita tak seberapa pun pencapaiannya.
Saya pernah ingat berjumpa dengan Dr. Wan Azizah di KLCC sementara menunggu Hanizan mengambil saya dari kerja. Beliau bersama Nurul Izzah sedang menunggu seseorang di depan Isetan. Bukan kereta besar yang datang mengambil beliau (ketika itu beliau menjadi ketua PKR), tetapi hanya kereta WIRA, model lama yg sama dengan suami saya pandu. Keluarga ini bukan mengejar dunia, jika mereka berkehendakkan kesenangan dunia mengapa mereka bersusah payah memperjuangkan apa yang mereka percayai ini dengan menerima segala tohmahan manusia-manusia berjiwa rendah ini. Buat apa susah-susah, dan mereka ini berada dikalangan keluarga yang senang juga. Tetapi oleh kerana mereka ini dikurniakan oleh Allah potensi-potensi yang lebih daripada orang biasa macam kita dan percaya mereka boleh membuat perubahan kepada rakyat Malaysia, dan Al-Hamdulillah, Allah jua yang mengizinkan perubahan-perubahan ini berlaku terutamanya perubahan dalam pemikiran masyarakat melayu kita.
Dalam penilaian butanya hati kita mungkin kita kata, apalah dosa Anwar ini sehingga dia diuji sebegini rupa. Terlupakah kita akan peringatan Allah di dalam al-Quran bahawa ujian-ujian berat ini diturunkan kepada hamba-hambaNya yang mempunyai keimanan yang tinggi seperti juga Nabi dan RasulNya.
Apa yang saya nak katakan di sini, apa pun yang telah Allah rencanakan dan tetapkan pasti ada hikmah dan pengajaran kepada kehidupan kita. Tidak ada satu pun peristiwa yang berlaku itu dengan sia-sia. Semuanya adalah dalam perancangan Allah. Apa yang pastinya, Allah akan menguji hamba-hambaNya yang beriman kerana syurga Firdaus itu amat tinggi nilainya, maka adakah dengan nilai keimanan kita yang amat lemah ini kita boleh layak untuk ke syurga Allah. Tepuk dada tanya iman. Wallahu a’laam.

No comments:

Post a Comment