Tuesday, July 31, 2012

Alkisah al-Iman


Amat menarik sekali penyampaian ustazah di kuliah al-Hikam tengahari tadi apabila beliau berbicara tentang iman. Ustazah memulakan bicara tentang iman dengan menyentuh mengenai sifat Asma Allah al-Husna iaitu al-Jalil, yang bermakna keluhuran cinta, definisi yang diambil dari Imam al-Ghazali. Dengan itu, ustazah mengaitkan Iman dengan kisah cinta agung si Pencipta kepada insan tanpa mengharapkan pulangan cinta dari hamba kepadaNya. 

Jutaan nikmat yang Allah kurniakan kepada hambanya yang tak terhitung merupakan tanda cinta luhur lagi murni Allah kepada hambaNya.
Pemberian yang melimpah-limpah kepada kehidupan manusia di muka bumi, tanpa disukat-sukat dan berkira-kira dengan hamba-hambaNya malah hamba-hambaNya pula yang sering lupa akan kurniaanNya dan sering melakukan kerosakan di muka bumi ini.

Maka apakah tanda cinta hamba yang mukmin kepada Penciptanya? Jika seorang isteri sanggup berkorban untuk suami dan keluarga tercinta, sanggup berpenat lelah menguruskan rumah tangga tanpa henti dan jemu, maka apakah tanda cinta yang luhur dari seorang mukmin kepada Penciptanya. Pastinya pengorbanan yang dirasakan tak kan pernah cukup untuk diberikan kepada Allah bagi membalas segala nikmat kehidupan yang dinikmatinya di dunia ini. Pengorbanan yang memerlukan perjuangan yang amat hebat, tanpa henti, tak kira di waktu senang mau pun susah.
Dan satu elemen yang perlu ada dalam diri hambaNya yang mendambakan cinta agung ini, pastinya perlu ada sifat cemburu di hati hambaNya kepada hamba-hambaNya yang bergelar ulama’, dan wali-waliNya yang amat hampir kepadaNya. Perlu ada sifat berlumba-lumba di antara kita bagi merebut cinta agung ini. Maka, hasilnya adalah kehalusan jiwa di dalam diri insan mukmin yang membawanya ke tahap keluhuran cinta, yang tingginya melepasi lapisan langit ke tujuh menemui Penciptanya yang maha Agung, sesuai dengan siftatNya al-Jalil. Itulah kisah cinta Agung yang melampaui wilayah bumi, kisah cinta antara wilayah langit dan wilayah bumi, pastinya perlukan pengorbanan dan daya perjuangan yang amat hebat sekali.

No comments:

Post a Comment