Showing posts with label Bacaan. Show all posts
Showing posts with label Bacaan. Show all posts

Monday, December 30, 2013

Tarbiyah Ruhiyah


Di dalam buku – Dr. Abdullah Nashih Ulwan menyampaikan cara-cara dan amalan-amalan yang dapat membantu menumbuhkan ruhiyah dalam diri kita seperti:

AMemperbanyakkan Tilawah al-Quran dengan Tadabbur
Bacaan yang disertai dgn tadabbur yang khusyu’ mampu mempertajamkan minda, melapangkan fikiran-fikiran sempit, dan ubat bagi hati yang sakit. Apabila seorang mukmin itu membaca al-quran dengan tenang, tadabbur & khushu’ dengan begitu konsisten sekali, maka akan terbuka perkara-perkara yang mengganggu perasaan & hatinya dan akan terpancar pula cahaya al-Quran di dalam jiwanya. RasulullahSAW sendiri membaca al-Quran secara dawan (rutin). Beliau memohon kepada Allah agar menjadikan al-Quran sebagi taman dalam hatinya, cahaya bagi pandangannya, penghapus duka dan pemusnah kebingungan.
Panduan dari Hassan al-Banna dalam rutin pembacaan al-Quran adalah mengikut kemampuan seorang mukmin/da’i. Yang amat penting jangan biarkan satu hari pun terlewat tanpa membaca Kitabullah Al-Quran. Amat digalakkan paling kurang 100 ayat satu hari. Dan jangan melebihi 3 bulan sekali khatam.
B. Hidup bersama Rasulullah melalui Sirahnya yang harum semerbak.
Rasulullah merupakan contoh terbaik bagi seluruh umat. Fenomena yang tampak untuk dicontohi adalah bagaimana beliau menyatukan agama dan dunia, ibadah dan kehidupan, tazkiyah dan jihad. Semuanya beliau lakukan tanpa berlaku ketimpangan antara keduanya.
Hendaklah selalu terbayang di benak fikiran kita akan:
1. Ibadah nabi. Bersungguh-sungguh melakukan ibadah, beribadah sepanjang malam dengan tidur yang sedikit.
2. Kezuhudan nabi. Nabi SAW tak pernah makan roti sampai kenyang dalam tempoh 3 hari berturut-turut. Hendaklah setiap da’i selalu waspada dan mengekang diri dari kesenangan duniawi semampu mungkin.
3. Ketakwaan Rasulullah. Duduk tanpa alas, makan bersama pembantu, menjahit sendiri pakaian, memperbaiki sandal, membantu pekerjaan isteri, duduk dimana saja dalam pertemuan.
4. Kesabaran dan kelembutan nabi. Beliau selalu memberi maaf dengan sebaik-baiknya.
5. Keteguhan Nabi dalam mempertahankan prinsip.
C. Selalu menyertai orang-orang pilihan, yakni mereka yang berhati bersih dan mengenal Allah.
Ulama generasi salaf berkata. ”Bersahabatlah dengan orang-orang yang keadaannya bisa menunjukkan kamu ke jalan Allah.”
D. Dzikir kepada Allah di setiap waktu dan keadaan.
Merasakan keagungan Allah dalam semua keadaan berupa zikir pikiran, hati, lisan atau perbuatan. Zikir perbuatan termasuk tilawah, ibadah, dan keilmuan.
E. Menangis kerana takut kepada Allah di saat berkhalwat.
Mengingati kembali dosa-dosa yang telah lalu dan yang mungkin akan terjadi.
Terbayang akan kematian dan apa-apa yang terjadi sesudahnya.
Membandingkan amalan kita dengan amalan generasi sahabat.
F. Bersungguh-sungguh membekali diri dengan ibadah-ibadah sunnah.
Berupa solat, puasa, sadaqah. Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, ”Solat yang paling afdhol setelah solat fardu adalah solat malam.”
”Kalian harus solat malam, sebab itulah jalan para solihin, itulah pendekatan diri pada Rabb kalian, penghapus kesusahan dan pemusnah dosa-dosa.” HR Muslim.

Thursday, January 17, 2013

Godaan dan Hati

Lama rasanya tak update blog saya ni.  Ada sedikit perkongsian maklumat dari sedikit pembacaan saya dengan kawan-kawan semua, in shaAllah.

Petikan dari buku Dr. Taufiq al-Waie.

"Individu dan bangsa yang hidup bersama kemungkaran, menerima dengan mesra dan meredai budaya mungkar bangsa akan musnah.  Hati mereka akan diselaput dan fikiran mereka akan tercemar.  Hawa nafsu akan berleluasa sedikit demi sedikit sehingga mereka ketagih melakukannya.  Mereka mula tidak kisah dengan kewujudan dan penguasaan mungkar.  Dengan ini mereka tidak mampu dan upaya menyuruh manusia berbuat baik atau melarang mereka berbuat jahat kerana hawa nafsu mereka sentiasa berbolak balik.  Mereka kehilangan petunjuk, cahaya, bantuan dan keredaan Allah."

Dalam buku ini, Dr. Taufiz al-Waie menghidangkan kita dengan satu hadith yang boleh dijadikan peringatan dan menambah pemahaman kepada keadaan umat Islam akhir zaman ini yang berada jauh dari landasan yang benar.    


Huzaifah r.a. diriwayatkan berkata bahawa beliau dengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Godaan akan melanda hati-hati ibarat batu kecil sebiji demi sebiji.  Mana-mana hati yang menerima godaan ini akan dititik dengan satu titik hitam.  Mana-mana hati yang menolaknya akan dititik dengan satu titik putih. Sehinggalah hati-hati ini sama ada menjadi putih seperti batu sofa yang tidak akan dimudaratkan oleh godaan selagimana ada langit dan bumi.  Satu lagi hati yang hitam perang seperti berbekas arang yang senget yang tidak mengenali kebaikan atau mencegah kemungkaran.  Apa yang diketahuinya apa yang sesuai dengan hawa nafsunya."

Apabila hati manusia menjadi seperti bekas arang yang senget diselaputi kegelapan, dosa dan kemungkaran, berdiam tanpa menyuruh berbuat baik dan mencegah berbuat jahat, ketika itu laknat Allah akan melanda dan mereka disingkir daripada rahmat Allah taala.

Na'uzubillahi min zalik.  Kesimpulannya, sentiasa bermuhajadah dengan banyakkan menolak godaan dan bisikan syaitan untuk membersihkan hati dari dinodai dan semoga dengan usaha yang berterusan ini menjadikan kita lebih sensitif dengan permasalahan masyarakat di sekeliling kita.  InshaAllah.

Thursday, January 3, 2013

Khowathir Quraniyah

Saya nak kongsikan sedikit dari bacaan buku bertajuk Khowathir Quraniyah tulisan Amru Khalid, pakar motivasi Mesir yang amat popular terutama di kalangan pemuda seluruh dunia.  

Dalam buku ini, Amru Khalid berjaya mengeluarkan mutiara-mutiara indah dari AlQuranul Karim yang pastinya akan membuatkan kita tersedar bahawa selama ini kita tidak menghargai kitab mulia yang Allah kurniakan kepada kita.  Saya ingin berkongsi sedikit dari bacaan saya bagi tafsir untuk permulaan surah i.e. Al-Baqarah, Al-An'am dan Al-A'raf.

Antara yang amat menarik perhatian yang ingin saya kongsikan adalah seperti berikut:

Ketiga surah, iaitu al-Baqarah, al-An'am dan Al-A'raf menekankan tentang adanya kesatuan dalam risalah suci ini.  Wahai kaum Muslimin! Setelah anda memahami urgensi bertauhid kepada Allah ta'ala secara i'tiqad maupun aplikasinya (dalam surah Al-An'am), sungguh Allah SWT berjanji menyerahkan bumi kepada anda agar dapat melaksanakan syariat Allah dengan sebenar-benarnya.  Wahai umat Muhammad!  Anda semua bertanggungjawab untuk mengatur bumi (dalam surah Al-Baqarah), lalu di manakah anda memposisikan diri dalam persaingan yang terjadi antara yang haq dan bathil? (dalam surah Al-A'raf).  

Jelas sekali surah-surah ini amat berkaitan dan kita perlu sentiasa berusaha untuk memahami ayat-ayat suci Al-Quran ini semoga kita diberi petunjuk oleh Allah SWT.  Ekstrak perenggan di atas, Amru Khalid mengingatkan kita, sebagai Muslim kita perlu ada pendirian yang tegas bila berlakunya pertempuran haq dan batil.  Kita tidak boleh mengambil posisi atas pagar, dengan berdiam diri, tidak mahu ambil tahu kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.  Umat Islam tak diajar hanya untuk mementingkan diri sendiri, jaga keluarga sendiri tak peduli jika masyarakat bermasalah pemikiran dan aqidahnya.  Nabi kita tak mengaku kita sebagai umatnya jika kita tak ambil berat permasalahan umatnya.  Amat penting keperluan untuk ambil berat tentang hak manusia yang lain.  Hatta non muslim sekali pun.  Jangan fikir kita muslim yang baik, kita akan lepas masuk ke syurga tanpa ditanya  apa sumbangan kita kepada manusia yang lain.  Bolehkah kita menjawab jiran non muslim kita yang menuntut haknya kepada pengetahuan Islam di hari pembalasan nanti.  Islam itu itu rahmat kepada semua.  Dan tugas kita adalah menyampaikan keindahan Islam itu.  Pastinya kita akan ditanya oleh Allah, dan adakah jawapan yang bakal kita jawab di hadapanNya.

Kerana ini amat penting, sehingga di dalam Al-Quran, dalam surah Al-A'raf diceritakan mengenai satu golongan yang tidak di tempatkan di neraka maupun di syurga.  Kita tidak mahu termasuk dalam golongan ini, kerana teramat mudah kita terhumban ke neraka.  Na'uzhubillah.  

Saya amat sarankan buku ini dibaca oleh semua.  Banyak mutiara-mutiara yang perlu digali dari kitab suci Al-Quran ini, dan pastinya tak akan ketemu dengan hanya membaca quran terjemahan biasa.  Sebab kita bukan alim ulama, kita perlu banyak membaca dan mencari buku-buku rujukan yang ditulis oleh manusia hebat yang mursyid yang diberi petunjuk oleh Allah.  Tanpa alim-ulama ini, manakan kita boleh perolehi cahaya untuk menjadi panduan dalam kehidupan yang penuh cabaran di akhir zaman ini.  Kehidupan moden ini sudah amat jauh tersasar dari tujuan hidup sebenar yang Allah ciptakan kita di muka bumi ini.  Mari sama-sama kita tingkatkan pengetahuan Islam kita moga kita selamat di dunia dan di akhirat.  Wallahua A'lam.  

Thursday, September 6, 2012

Al-Quran Manual Kehidupan Insan di Muka Bumi

Ibnul Qaiyyim mengatakan, “Allah menurunkan AlQuran adalah untuk kita renungkan, kita ambil sebagai petunjuk, kita ingat-ingat sebagai penghibur, kita tafsirkan dengan bentuk dan pengertian yang terbaik, kita percayai dan yakini, serta kita tegakkan perintah-perintah dan larangan-larangannya semaksimal mungkin. 

Kita pun bisa menuai buah ilmu-ilmu yang bermanfaat yang akan mengantarkan kita kepada Allah dari pepohonan dan taman hikmahnya, baik dari tanaman-tanaman maupun bunga-bunganya.  Sebab, alQuran adalah kitab Allah yang akan menunjukkan segala hål mengenai Allah bagi siapa saja yang ingin mengenal-Nya.

Monday, August 6, 2012

Tabiat Iman itu Amalan2 Soleh


Petikan dari buku Dr. Taufiq al-Waie, Iman Membangkitkan Kekuatan Terpendam, “Kesalahan terbesar yang di lakukan manusia dalam memahami keimanan adalah keyakinan bahwa iman hanyalah kumpulan pemahaman dan pemikiran yang kaku, tidak terkait dengan amal, tindakan, dan aktivitas”. 

Firman Allah SWT didalam surah Al-Asr memberikan gambaran yang jelas mengenai tabiat iman itu.
“Demi Masa!  Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.  Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”  Orang-orang yang beriman senantiasa di kaitkan dengan pelbagai amalan soleh dan ini memperjelaskan kepada kita betapa iman itu merupakan praktis dan amalan-amalan yang memberikan impak kepada kehidupan seseorang itu yang juga ada hubungan kemanusiaan yang tinggi.  Amalan nasihat-menasihati sesama insan itu adalah tabiat orang-orang beriman dan memerlukan kesabaran yang tinggi.  

Oleh itu keimanan itu dinilai dengan hasil kerja usaha yang amat besar dan pelbagai dan tinggi nilainya disisi Allah.  Begitu jelas sekali syarat menjadi mukmin itu adalah amal-amal soleh, dan tanpa amal soleh maka tidak ada nilainya hidup kita disisi Allah, hiduplah kita dalam sia-sia dan kerugian.  Inilah satu-satunya ajaran yang akan membawa kita keuntungan didunia ini iaitu dengan berpesan-pesan dengan kebenaran dan dengan sabar.  Renung-renungkanlah.  

Tuesday, July 31, 2012

Bacalah dengan Nama Tuhanmu….



Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mempelajari ilmu bukan untuk mencari keredhaan Allah melainkan untuk mendapatkan keuntungan duniawi semata, maka ia tidak akan dapat mencium bau syurga yang boleh tercium sejauh perjalanan empat puluh tahun.”
Mu’az dan Abdullah bin Umar pernah menangis mendengar hadis ini dengan tangisan yang kuat, sebab ia adalah hadis yang menakutkan bagi orang-orang yang merenunginya.
Orang yang ikhlas menuntut ilmu akan menuntutnya semata-mata kerana Allah SWT demi mendapatkan ridha dariNya, terhapusnya kejahilan dari dirinya dan mendapatkan dua kebaikan sekaligus, dunia dan akhirat. Adapun orang yang menuntut ilmu hanya untuk mendapatkan kesenangan duniawi semata, maka ia memang akan memperolehi hasil dari usahanya itu berupa kedudukan, jawatan, pangkat & lain-lain. Bagaimanapun, ia akan kehilangan berkat, ridha dan berbagai keni’matan yang tiada bandingan diakhirat kelak. Hakikat ini haruslah tertanam di hati setiap penuntut ilmu.
Rasulullah SAW bersabda,
“Sesiapa yang mengamalkan apa-apa yang telah diketahuinya, maka Allah akan mengajarkan kepadanya apa-apa yang telah diketahuinya, maka Allah akan mengajarkan kepadanya apa-apa yang belum ia ketahui.”
Jadi, amalkanlah setiap ilmu yang telah engkau ketahui, nescaya Allah SWT akan memperbanyakkan ilmu mu.

Sunday, July 29, 2012

Keutamaan amalan yang berterusan atas amalan yang terputus-putus


‘Aisyah meriwayatkan, baginda SAW mengatakan, “Amalan agama yang paling dicintai olehnya ialah yang senantiasa dilakukan oleh pelakunya."


Yang beliau inginkan ialah amalan yang sedikit tapi terus-menerus dilakukan. Melakukan ketaatan secara terus-menerus sehingga banyak berkah yang diperoleh akan berbeda dengan amalan yang banyak tetapi memberatkan.  Dan boleh jadi, amalan yang sedikit tapi berterusan akan tumbuh sehingga mengalahkan amalan yang banyak yang dilakukan dalam satu waktu.


Nabi SAW memperingatkan orang-orang yang terlalu berlebihan dalam menjalankan agamanya dan sangat kaku; kerana sesungguhnya Nabi SAW khuatir bahwa orang itu akan bosan dan kekuatannya menjadi lemah, sebab pada umumnya begitulah kelemahan yang terdapat pada diri manusia. Dia akan putus ditengah jalan.  Ia menjadi orang yang tidak jalan dan juga tidak berhenti.
Petikan dari buku Fiqh Keutamaan tulisah Dr. Yusuf Al Qardhawi.

Al-Quran Manual Kehidupan Insan di Muka Bumi



Ibnul Qaiyyim mengatakan, “Allah menurunkan AlQuran adalah untuk kita renungkan, kita ambil sebagai petunjuk, kita ingat-ingat sebagai penghibur, kita tafsirkan dengan bentuk dan pengertian yang terbaik, kita percayai dan yakini, serta kita tegakkan perintah-perintah dan larangan-larangannya semaksimal mungkin. Kita pun bisa menuai buah ilmu-ilmu yang bermanfaat yang akan mengantarkan kita kepada Allah dari pepohonan dan taman hikmahnya, baik dari tanaman-tanaman maupun bunga-bunganya.  Sebab, alQuran adalah kitab Allah yang akan menunjukkan segala hål mengenai Allah bagi siapa saja yang ingin mengenal-Nya.