Amat menarik sekali
penyampaian ustazah di kuliah al-Hikam tempohari apabila beliau berbicara
tentang iman. Ustazah memulakan
bicara dengan menyentuh sifat Asma Allah al-Husna iaitu al-Jalil, yang bermakna
keluhuran cinta, (definisi yang diambil dari Imam al-Ghazali).
Dengan itu, ustazah
mengaitkan Iman dengan kisah cinta agung si Pencipta kepada insan tanpa
mengharapkan pulangan cinta dari hamba kepadaNya. Jutaan nikmat yang Allah
kurniakan kepada hambanya yang tak terhitung merupakan tanda cinta luhur lagi
murni Allah kepada hambaNya. Pemberian yang melimpah-limpah kepada kehidupan
manusia di muka bumi, tanpa disukat-sukat dan berkira-kira dengan
hamba-hambaNya malah hamba-hambaNya pula yang sering lupa akan kurniaanNya dan
sering melakukan kerosakan di muka bumi ini.
Maka apakah tanda
cinta hamba yang mukmin kepada Penciptanya? Jika seorang isteri sanggup
berkorban untuk suami dan keluarga tercinta, sanggup berpenat lelah menguruskan
rumah tangga tanpa henti dan jemu, maka apakah tanda cinta yang luhur dari
seorang mukmin kepada Penciptanya. Pastinya pengorbanan yang dirasakan tak kan
pernah cukup untuk diberikan kepada Allah bagi membalas segala nikmat kehidupan
yang dinikmatinya di dunia ini. Pengorbanan
yang memerlukan perjuangan yang amat hebat, tanpa henti, tak kira di waktu
senang mau pun susah.
Dan satu elemen yang
perlu ada dalam diri hambaNya yang mendambakan cinta agung ini, iaitu sifat cemburu di hati hambaNya kepada hamba-hambaNya yang bergelar ulama’,
dan wali-waliNya yang amat hampir kepadaNya.
Memiliki sifat berlumba-lumba di antara kita amat dituntut bagi merebut
cinta agung ini.
Maka, hasilnya adalah kehalusan jiwa di dalam diri insan
mukmin yang membawanya ke tahap keluhuran cinta, yang tingginya melepasi
lapisan langit ke tujuh untuk menemui Penciptanya yang maha Agung, sesuai
dengan siftatNya al-Jalil. Itulah kisah cinta Agung yang melampaui wilayah
bumi. Kisah cinta antara wilayah langit dan wilayah bumi, pastinya memerlukan
pengorbanan dan daya perjuangan yang amat hebat sekali.
Adakah cinta kita seagung cinta Pencipta kepada hambaNya? Hebatkah pengorbanan kita untuk mendapatkan cinta agung Allah ini kepada kita? Malu hamba ini nak menjawab. Hanya dengan rahmatMu ya Allah yang aku harapkan, tiada lainnya.
No comments:
Post a Comment